REDAKSIRIAU.CO.ID KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu bersempena tarikh kelahiran Allahyarham Tan Sri P Ramlee bagi memperingati jasa dan sumbangan seniman agung tanah air itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dalam kenyataannya pada Rabu (16 Mac) memaklumkan, signifikan di sebalik perubahan pada tarikh sambutan Hari Seniman Negara itu adalah untuk mengangkat karya-karya seniman yang berjaya melahirkan ramai tokoh dan pakar industri kreatif itu, di samping memperkenalkan Malaysia di mata dunia
“Cadangan pertukaran tarikh dari 29 Mei ke 22 Mac tersebut telah diteliti dan pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan, pertubuhan berkaitan telah diambil, dan seterusnya mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri yang diusulkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM),” katanya.
Selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif, Annuar berkata sambutan Hari Seniman Negara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa, khususnya ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.
Katanya lagi, KKMM berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan dalam penganjuran Majlis Pelancaran Hari Seniman Negara pada 22 Mac nanti.
Ini bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air, dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya, serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang.
Sumber : Bernama/AW/ny berita