Rizky Febian disiasat polisi, dipercayai terima bayaran 'wang haram' dari usahawan

REDAKSIRIAU.CO.ID  JAKARTA: Penyanyi terkenal Indonesia, Rizky Febian dilaporkan dipanggil oleh pihak polis untuk membantu siasatan berkaitan penerimaan bayaran pembelian produk miliknya yang dipercayai adalah hasil daripada duit judi atas talian.

Menurut laporan media tempatan, Rizky dipercayai menerima bayaran sebanyak Rp400 juta (S$37,814) daripada usahawan jutawan Doni Salmanan, demikian menurut laporan Astro Gempak.

Bayaran tersebut merupakan sebagai hasil urus niaga jual beli produk minuman yang diusahakan oleh Rizky pada September 2021.

Rizky yang juga merupakan anak kepada pelawak Sule dilaporkan oleh media tempatan hadir di bangunan Bareskrim Polri, Jakarta Selatan pada Rabu (16 Mac).

Sementara itu, Doni yang mendapat julukan "Crazy Rich Bandung" ketika ini berada dalam tahanan polis kerana disyaki menjalankan perniagaan haram iaitu judi online yang menggunakan platform Quotex.

Selepas menjalani sesi soal siasat, peguam Rizky, Ahmad Ramzey memberitahu pihak media bahawa penyanyi itu mengenali Doni pada September 2021, seperti dinukil Astro Gempak.

Rizky yang menjalani sesi soal siasat selama empat jam mengaku bayaran dari hasil minuman yang diterima dari Doni itu sebahagiannya didermakan sementara separuh lagi diberi kepada yayasan yang memerlukan.

“Ya kan pemberitaannya sudah tahu ya. Kalau itu (duit) saya lakukan untuk derma, untuk yayasan saat itu juga," kata Rizky seperti dilaporkan Kompas, dinukil Astro Gempak.

Terdahulu, Rizky sempat berkongsi rasa teruja kerana jualan minumannya dibida oleh jutawan tersebut sehingga mencecah harga RM1.2 juta (S$388,870).

“Saya masih gementar. Ini sangat tidak diduga-duga buat minuman, banyak banget yang taruh harga tinggi sampai harga tertinggi di 400.000.000 rupiah (S$37,814) @donisalmanan,” tulis Rizky saat itu melalui akaun media sosialnya.

Untuk rekod, selain Rizky, terdapat beberapa selebriti dari Indonesia yang juga pernah menerima hadiah atau duit dari Doni yang dipercayai menipu dan menjalankan perniagaan haram tersebut.

Ini termasuklah Atta Halilintar yang menerima sebuah beg tangan berjenama Christian Dior dan pasangan Lesti Kejora dan Rizky Billar yang menerima wang sumbangan di majlis perkahwinan mereka.

Kompas

Ikuti Terus Redaksiriau.co Di Media Sosial

Tulis Komentar


Loading...